Wednesday 16 February 2011

Bab 2: Suamiku Suri Rumah?


Hazim melihat jam di dinding. Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi. Di sisinya, kelihatan bayi kecil yang sedang tidur lena. Melihat wajah bayi kecil itu, Hazim tersenyum lantas mencium pipi anak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa. Suara bayi kecil itulah yang menjadi pengubat kesunyian Hazim. Mereka hanya berdua dalam rumah yang besar itu. Ibu Aulia, Melida sentiasa sibuk dengan kerjaya. Benar sekali, Melida seorang yang workaholic. Hazim mendoakan agar isterinya sentiasa selamat dan sihat sejahtera. Dia mampu mendoakan kejayaan dan kebahagiaan isterinya. Biarlah dirinya di rumah menguruskan rumah tangga. Hazim tidak dapat melelapkan mata. Aulia merengek-rengek lagi. Memang bayi itu sentiasa merengek-rengek. Dilihatnya lampin anaknya itu basah. Hazim menukarkan lampin anaknya. Hazim teringat pada pengorbanan arwah ibunya. Agaknya beginilah ibunya berkorban untuk membesarkannya. Hazim menyelami hati seorang ibu biarpun dia seorang bapa. Rengekan Aulia semakin menjadi-jadi. Rengekan bertukar menjadi tangisan. Aulia menangis begitu kuat. Sakitkah anaknya?

Badan Aulia begitu panas. Ya Allah, selamatkanlah anakku ini. Ya Allah, kenapa anakku ini?Sakit perutkah?Demamkah?Kebiasaanya Aulia menangis tidaklah seperti ini. Jam menunjukkan 3.00 pagi, Aulia masih menangis. Tangisannya masih tidak henti-henti. Pelbagai cara Hazim telah lakukan termasuk menyapu ubat pada perut Aulia, mendukung, meriba, menepuk-nepuk untuk anaknya tidur semuanya tidak menjadi. Bawakan Aulia ke Klinik? Klinik mana yang buka tengah-tengah malam ni? Hazim mendail nombor Melida. Dia ingin memberi tahu Melida. Anak mereka sakit. Sudah dua hati Melida tiada di rumah. Melida ke Kota Bharu urusan kerja.

“Ya, abang..dah pagi ni...Mel mengantuklah, bang...”

“Sayang...anak kita sakit...sejam lebih dah anak kita menangis tak henti-henti...” Hazim hanya mengharapkan Melida mendengar luahan rasanya.

“Abang bawaklah anak kita tu ke klinik jer...abang telefon Mel pun Mel tak boleh buat apa-apa...takkan lah Mel nak balik dari jauh ni....apalah abang, ni....!” Suara Melida yang baru bangun tidur kedengaran. Panjang lebar Melida merungut-rungut.

“Abang hanya nak beritahu Mel anak kita sakit, sayang...bukan untuk ganggu Mel tidur...Mel perlu tahu sebab anak ini anak Mel juga kan...”

“Baiklah...abang telefon Dr Mardan, nombor telefon Dr Mardan ada dalam buku telefon...Dr Mardan yang menyambut kelahiran Aulia dulu tu...”

“Baiklah...”

*****

Hazim keluh-kesah. Sekejap berdiri dan sekejap duduk di bangku klinik Dr.Mardan. Mundar-mandir apabila doktor yang merawat anaknya masih tidak keluar untuk memberitahu apa keadaan anaknya. Suara Auni Aulia senyap tidak kedengaran. Jururawat membantu Hazim mendodoikan bayi kecil itu. Kalaulah ibu Aulia berada di sisi ketika ini, alangkah baiknya. Doktor meminta untuk Hazim tunggu di luar seketika untuk pemeriksaan pada bayinya dan Auni Aulia ditemani jururawat. Dr Mardan muncul keluar dari bilik rawatan.

“En.Hazim, anak encik hidap demam panas...”

“Doktor, jadi macam mana...dan apa yang saya perlu buat?”

“Encik Hazim bertenang...Saya akan berikan ubat decongestant dan antibiotik pada anak encik. Suhu badannya melebihi 40 darjah celcius..demam panas disebabkan juga jangkitan pada telinga, sebelum ini anak encik ada selesema?”

“Ada doktok...Buatlah apa sahaja doktor...asalkan anak saya sihat”

“Mana ibu bayi ni...?”

“Ibunya outstation...”

“Baiklah....anak encik bersama jururawat sekarang...biarkan anak encik berehat sebelum pulang...dan encik ambil ubat di kaunter nanti...”

“Terima kasih doktor...”

“Sama-sama...” Ujar Dr Mardan sambil berlalu.

*****

Suara Aulia menangis memecah kesunyian malam. Hazim terjaga dari tidur. Jam menunjukkan 3.30 pagi. Tersengguk-sengguk Hazim mendodoikan Aulia. Balang termos diambil. Ringan. Hazim terlupa untuk mengisi air panas. Sudah menjadi tanggungjawab Hazim, dialah pengasuh kepada bayinya. Demam, cirit-birit, dan segala tentang anaknya, dialah yang sentiasa di sisi bayinya. Melida? Melida dunianya adalah di luar dan kerja. Sampai bilakah?Hazim tiada jawapan untuk itu. Suara Aulia tidak kedengaran lagi. Botol susu dimulutnya. Hazim memeluk erat anaknya.

“Aulia, papa sayang Aulia...” Ditenung anaknya itu. Aulia terkebil-kebil seolah-olah mengerti. Adakalanya Aulia berhenti menyusu dan melihat wajah bapanya. Bayi kecil itu seolah-olah memahami perasaan bapanya.

Hazim mendodoi bayinya hingga terlena. Tidak sedar jam telah 6.30 pagi. Hazim tergopoh-gapah ke bilik air untuk mengambil wuduk sebelum terlewat. Diletak Aulia di sebelahnya ketika hendak bersolat. Bimbang Aulia menangis. Air mata Hazim mengalir tatkala berdoa.

Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan semesta alam yang menghidup dan mematikan seluruh yang bernyawa. Aku memohon ampun atas segala khilafku padaMu Tuhan. Selawat dan salam pada Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi utusanMu dalam menyebarkan agama Islam hingga dapat aku anutinya pada hari ini...tempatkanlah Nabi Muhammad S.A.W ditempat yang tertinggi dan terpuji...Aku berdoa tempatkanlah kedua ibu bapaku di syurgaMu di tempat yang tertinggi dan terpuji, berikanlah kesihatan yang baik pada ibubapaku, keluargaku, anak dan isteriku...bahagiakanlah kehidupan kami di dunia dan akhirat, tempatkanlah kami di syurgaMu...Hiasilah akhlak anakku ini dengan akhlak terpuji...Amin Ya Rabbal Alamin...

Aulia mengagah-ngagah. Hazim tersenyum melihat Auni Aulia memegang teddy bear kecil. Anaknya sudah mampu merangkak. Isterinya akan pulang pada hari ini. Hazim segera turun ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Auni Aulia diletakkan dalam walker.

“Auni duduk baik-baik ya...papa nak masak nasi lemak special untuk mama...mama balik dua jam lagi...” Kepala Aulia digosok-gosok oleh Hazim dan dicium bayinya itu. Bayinya masih belum kebah daripada demam. Namun, sudah kelihatan beransur baik.

*****

Loceng rumah berbunyi. Nasi lemak semerbak di dapur. Sambal tumis ikan bilis dan kerang tumis semerbak singgah pada hidung Melida. Loceng kedua berbunyi lagi. Hazim tidak sedar mungkin begitu asyik berada di dapur. Loceng ketiga berbunyi. Suara Melida dari luar kedengaran.

“Abang!Abang....Buka pintu...Mel dah balik ni...”

Hazim yang sedang memotong timun tersentak terdengar suara Melida. Tangannya berdarah. Pisau terhiris jari telunjuknya tanpa disedari.

“Kejap Mel...”

Hazim meluru ke pintu utama untuk membuka pintu. Walhal ada sahaja kunci dalam beg. Mel malas untuk membuka handbag nya. Di buka pintu rumah, kelihatan Melida berbaju coklat dan berskirt putih tersenyum pada suaminya.

“ Apa khabar abang?Rindu Mel tak?” Melida tersenyum.

“Rindulah...Aulia pun rindu Mel...”

“Mana Aulia?”

“Tuh...dalam walker tu...”

Melida mendapatkan Aulia. Dicium anaknya. Namun, hanya ciuman sahaja. Tidak dipegang dan didukung bayi kecil itu. Melida terus ke tingkat atas. Katanya mahu berehat. Penat sungguh. Sebentar lagi barulah dia akan turun makan. Auni Aulia terkebil-kebil. Setelah Melida ke tingkat atas, Hazim mendukung dan dicium anaknya itu. Aulia memeluk leher Hazim. Jari Hazim masih terasa pedih terkena pisau. Alah, sikit sahaja cederanya.

“Aulia..kejap lagi kita makan dengan mama, ya...Aulia makan nestum...papa dengan mama makan nasi lemak....dadadadaaaaaaaaaaaa...” Hazim mengagah-ngagah Aulia. Aulia terkekek-kekek dengan agahan papanya.


No comments:

Post a Comment