Wednesday 16 February 2011

Bab 1: Suamiku Suri Rumah?


Sungguh bersyukur atas kurniaan nikmat kehidupan ini. Segalanya yang kuimpikan telah menjadi kenyataan. Kereta, rumah, kerjaya dan pelajaran telah kini dalam genggaman. Apa lagi yang aku mahukan, suami dan anak sudah ada. Mengenalimu suamiku, cukup indah dalam hidup ini. Semoga sampai ke syurga cinta ini terus mekar dan segar dalam hati. Kasihmu tidak terhingga, sayangmu tidak berbelah bahagi. Cuma, ada ketikanya diri ini alpa untuk mendekati dan mengenalimu. Adakah hanya sekadar luaran diriku sebagai isterimu kerana aku tidak bisa menjadi sesetia Aisyah R.A dan sehebat Siti Khadijah. Hazim, maafkan Melida andainya Melida bukanlah seorang isteri yang terbaik buat dirimu, Hazim.

*****

“Abang, esok Mel akan bertolak ke Kota Bharu, Mel ada mesyuarat di Pasific Hotel. Mel kat sana selama empat hari. Abang dah siapkan makanan untuk Mel? Pukul 8.00 kejap lagi Mel akan ke ofis ada mesyuarat...”

“Baiklah, sayang...abang dah siapkan makanan...jom kita makan...?”

“Abang turunlah dulu...Mel nak mandi dulu..dah pukul 7.10 dah ni...abang turun dulu...Mel makan kemudian...”

Aulia merengek-rengek kecil. Hazim memangku bayi kecil yang berusia sembilan bulan. Dipeluk tubuh kecil itu yang masih tidak mengerti apa-apa. Melida hanya berpantang sebulan sahaja. Sepatutnya perlu tiga bulan duduk di rumah dan menyusukan anak, tetapi masa pantangnya begitu sekejap sahaja. Bukan tidak mahu berpantang, tetapi Melida banyak urusan perlu diselesaikan. Cuti bersalin selama sebulan pun dirasakan amat membebankannya. Hazim memangku Aulia dan menuruni tangga. Diletakkan anaknya dalam buaian dan didodoi-dodoikan. Aulia terlena dalam dodoian seorang bapa, bukan diulit suara seorang ibu. Setelah Aulia memejamkan mata, Hazim mencedok nasi ke dalam pinggan. Hazim memang pandai memasak. Lauk kurma daging dan sotong goreng berempah menjadi hidangan untuk makan malam. Lama menunggu Melida. Sudah pasti sedang bersolek. Hazim merapati meja makan dan makan keseorangan. Baru sahaja suapan kedua. Isterinya, Melida sudah memanggil.

“Abang!Abang...!Mana baju Mel? Abang dah gosok ker?”Suara Melida kedengaran dari tingkat atas.

“Ada sayang...dalam almari tu...” Hazim merapati anak tangga dan memberitahu Melida dari tingkat bawah.

“Abang..bukan baju ni...Mel nak baju coklat tu....abang ni....ishhhhh!”

“Baju coklat dalam mesin basuh sayang. Abang belum basuh lagi...” Ujar Hazim dengan penuh kasih sayang dari tingkat bawah.

“Baju tu dari minggu lepas lagi Mel dah beritahu...suruh abang basuh dan gosok siap-siap...tulah..Mel nak amik orang gaji abang tak nak...”

“Baju lain lah sayang pakai...banyak lagi baju lain yang cantik-cantik...kan...” Hazim sudah muncul di pintu bilik. Melida masih menyelak-nyelak pakaian dalam almari.

Melida mengambil baju putih berona pink dibelek-belek dan terus dipakainya dengan cepat. Melida mengejar masa. Tudungnya disarung dan dikemaskan dengan brooch berlian hadiah daripada Hazim sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ketiga pada bulan lepas. Brooch yang ditempah khas untuk isteri tersayang amat bermakna juga buat Melida. Harganya hampir lima ribu ringgit. Jadi, masakan wanita itu tidak menyayangi suaminya yang terlalu memanjakan dirinya dan ditatang bagaikan puteri dayang sari. Kedengaran Aulia merengek-rengek. Hazim terus berlalu dan mendapatkan Aulia. Sebelum itu, tangannya dibasuh. Kuah lauk yang dimakan melekat di tangan hampir kering. Hidangan atas meja hambar sepi tanpa dijamu tuannya lagi. Melida menuruni anak tangga. Terus singgah di meja makan.

“Sayang...dah solat maghrib...?”

“Abang ni....Mel period lah!”

“Hari ni...baru 15 hb...biasanya Mel akan period pada 26hb....”

Betapa caknanya seorang suami seperti Hazim, soal period Melida juga diambil tahu. Bukan apa, semua hal Hazim uruskan termasuk membeli pad jenama Libress untuk Melida juga sudah menjadi tanggungjawabnya. Melida hanya bangun pagi, pakaian siap tersedia, makanan siap di meja makan, dan Melida hanya pergi kerja dan yang lain, semuanya Hazim yang uruskan.

“Sayang...pergi solat dulu...solatlah lah maghrib dulu sebelum pergi mesyuarat...”

“Abang ni..nanti tak sempat..jam tengah jalan nanti...!Kat tempat kerja nanti Mel solat lah” Suara Melida makin meninggi.

“Baiklah, sayang..yang penting solat...masuk waktu Isyak 8.30 malam...jangan terlambat pula...”

“Abang ni...Mel nak makan pun membebel...abang...buang sikit nasi tu...banyak sangatlah...”

Hazim menyenduk nasi untuk dikurangkan dari pinggan Melida. Dia terlupa isterinya sedang diet. Isterinya baru sahaja memakai selendang sejak bulan lepas. Hazim berharap, permulaan dengan memakai selendang agar terbuka hati Melida untuk bertudung. Hazim berdoa kelak Melida akan memakai tudung di kepala.

“ Sedapnya abang masak....” Melida terus menyuap makanan ke mulutnya.

Melida tidak sedar, Hazim sedang memerhatikannya menyuap makanan. Kasihan isterinya, adakalanya makan pun tidak sempat. Tidak pula dijemput suaminya untuk makan bersama. Hazim hanya memandang sambil tersenyum. Dia faham perangai Melida. Aulia dipangku Hazim. Sekali-sekala Aulia merengek-rengek. Sudah lama Aulia tidak menyusu susu ibu. Lebih baik menjadi anak lembu kerana tiap hari Aulia asyik minum susu lembu! Melida sendawa kekenyangan dan mencapai begnya dan fail-fail ditangan dipegang kemas. Tangan Hazim dikucupnya dan terus berlalu pergi. Melida terlupa dia punyai bayi kecil yang juga memerlukan dakapan seorang ibu.

*****

Hazim membasuh tangan untuk menyambung suapan yang tergendala tadi. Aulia sudah dimandikan dan ditidurkan. Lena bayi kecil itu tidur. Setelah Melida mengandung, Hazim mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Isterinya asyik masuk hospital kerana alahan yang teruk. Ketika mengandungkan Aulia, adakalanya Melida meminta untuk makan pelik-pelik hinggakan selipar jepun pun Melida ingin makan buat lauk. Pelbagai ragam yang Hazim layan dan bersabar namun, Hazim tidak pernah memarahi Melida. Hazim faham benar, sebelum berkahwin Melida adalah anak manja kepada bosnya, Datuk Mansor. Perkenalan dirinya dan Melida juga diaturkan oleh bapa mertuanya. Hanya Hazim sahaja yang berjaya mencuri hati Melida. Hazim menikmati makan malam seorang diri. Ruang rumah yang besar itu dipandang sepi walaupun penuh kemewahan hidupnya. Walaupun tidak bekerja, gaji bulanan Hazim sebanyak RM 2500 masuk ke dalam akaunnya. Bapa mertuanya memberi gaji percuma pada Hazim kerana membantu anaknya menguruskan rumah tangga. Harta, kereta, rumah, isteri dan anak sudah ada. Apa yang Hazim mahukan lagi. Dia hanya mahu menjadi suami yang bertanggungjawab dan berkorban untuk keluarga. Telefon bimbit Hazim berbunyi. Kedengaran lagu Tasbih Cinta bergema memecah kesunyian. Tertera panggilan isterinya, Melida.

“Ya sayang...?”

“Abang...abang tolong Mel kemaskan baju untuk Mel pergi outstation ya...”

“Baiklah, sayang...”

“Abang gosok baju, ubat gigi, berus gigi, kasut dan semualah yang abang rasa perlu untuk Mel bawa...abang siapkan ya, abang...Mel rasa balik lambat malam ni...rasanya tak sempat untuk Mel kemas...tolong ya abang...?”

“Baiklah, sayang...itu tugas abang untuk sediakan semuanya untuk Mel...”

“Terima kasih...” Bicara Melida tamat di talian.

Oh, Tuhan...hanya Melida isteriku. Auni Aulia bukti cinta kami. Perkukuhkanlah cinta kami ini hingga ke syurga. Aku punyai isteri yang sentiasa sibuk dengan kerja, dan aku sentiasa menadah telinga untuk mendengar jiran-jiran, rakan-rakanku bahawa aku ini seorang lelaki yang dayus. Apakah aku ini dayus tika ada rasa ingin membantu seorang isteri menguruskan rumah tangga? Apakah aku ini terlalu memanjakan isteri seperti yang diperkatakan oleh mereka di luar sana itu?Adakah salah untuk aku berkorban demi isteri dan anak aku ini Tuhan? Bila hati hanya mencari kebahagiaan, aku sanggup segalanya Tuhanku....Hazim memeluk Aulia...Setiap hari Aulia tidur dalam pelukan seorang bapa. Bilakah Aulia akan tidur dalam pelukan seorang ibu? Hazim percaya, kehidupan ini memerlukan pengorbanan dan saling bekerjasama. Biarlah dia berkorban demi isteri tercinta buat masa ini.

No comments:

Post a Comment